Kesaksian Saudara Anuar amatlah istimewa sekali. Beliau telah mengalami realiti kekuasaan ilahi Tuhan yang cukup hebat di dalam hidupnya. Sebelum itu, saudara Anuar telah mengharungi keperitan hidup yang cukup keras dan berat baginya serta keluarganya. Beberapa petikan nas dari catatan Injil Sayidina Isa al-Masih telah menolong beliau mencapai ketenangan hati dan juga pelepasan jiwa yang sangat indah lagi memuaskan dalam pencarian Anuar, yang sebelum ini, beliau tidak pernah kenali. Juga, boleh dikatakan ada cukup ramai umat bangsa Melayu yang terjerumus ke dalam jurang yang sama seperti Anuar.
Walaupun begitu, saudara Anuar terdapat juga dilepaskan daripada 'neraka' tersebut dan segala ini hanya boleh dirujukkan kepada kuasa ilahi Allah yang tidak terbanding, sepertimana yang sudah terkandung dalam pelayanan Sayidina Isa semasa baginda berada di atas muka Bumi ini!
Di antara petikan daripada peristiwa pelayanan Isa al-Masih adalah seperti nas-nas berikut.
Lukas Bab 5: 12-13 - Sayidina Isa al-Masih sembuhkan seorang berpenyakit kusta.
12 Pada suatu kali Sayidina Isa berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Isa, dia meniarap lalu memohon kepada-Nya, "Tuan, jikalau Tuan mahu, Tuan berkuasa untuk menyembuhkan saya." 13 Lalu Isa pun menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh dia sambil berkata, "Saya mahu. Sembuhlah engkau!" Seketika itu juga, penyakit kustanya hilang.
Lukas 5: 17-26 Isa al-Masih Mengampuni dosa-dosa seorang berpenyakit lumpuh.
17 Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di jajahan Galilea dan Judea dan juga dari Baitulmuqaddis. Kuasa Allah ada pada Isa untuk menyembuhkan orang. 18 Beberapa orang mengusung seorang yang lumpuh dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Isa. 19 Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke bumbung rumah lalu membuka genting untuk menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Isa.
20 Apabila Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Saudara, dosa-dosamu diampunkan."
21 Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, "Siapakah orang ini yang menghina Allah? Siapakah yang dapat mengampunkan dosa kecuali Allah sahaja?" 22 Tetapi Isa mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu memikirkan perkara sedemikian? 23 Yang manakah lebih mudah? - mengatakan 'Dosa-dosamu diampunkan' atau 'Bangunlah dan berjalan?'
24 Tetapi, supaya kamu ketahui bahawa Anak manusia berkuasa di bumi ini untuk mengampunkan dosa..." - Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkat tikar engkau dan pulang ke rumah!" 25 Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar di mana dia berbaring tadi lalu pulang dan memuji Allah. 26 Semua orang tercengang-cengang dan memuji Allah dengan perasaan takut sambil berkata, "Pada hari ini kami sudah menyaksikan hal yang ajaib!"
Selain daripada umat Yahudi Israel, Sayidina Isa juga telah melayani dan selamatkan umat-umat bukan Yahudi, seperti Pegawai Tentera bangsa Roma itu dan juga hambanya, dalam Lukas 7: 1-10.
Bab 7 Setelah Isa habis memperkatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. 2 Terdapat seorang hamba ketua askar yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati. 3 Apabila ketua askar itu mendengar tentang Isa, dia menyuruh beberapa pemimpin masyarakat Yahudi mendapatkan Isa untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu.
4 Ketika pemimpin-pemimpin itu mendapatkan Isa, mereka memohon-Nya bersungguh-sungguh, "Tolonglah kabulkan permintaannya kerana dia patut ditolong. 5 Dia mengasihi bangsa kita dan dia telah mendirikan sebuah balai sembahyang untuk kita." 6 Lalu Isa pun pergi bersama-sama dengan mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua askar itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Sayidina Isa, "Tuan, tak usah Tuan menyusahkan diri ke rumah saya kerana saya tidak layak. 7 Saya juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Memadailah Tuan memberikan perintah sahaja dan hamba saya itu akan sembuh. 8 Saya pun di bawah perintah orang atasan dan saya ada askar di bawah perintah saya. Saya memerintah seseorang, 'Pergilah!' dan dia akan pergi; saya memerintah seorang lagi, 'Datang!' dan dia akan datang. Saya memerintah seorang hamba, 'Buat kerja ini!' dan dia akan melakukannya."
9 Isa hairan mendengar ini lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, "Aku berkata kepadamu bahawa antara bangsa Israel sekalipun belum pernah Aku melihat orang yang beriman seteguh ini." 10 Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar Rom itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.
Banyak lagi mangsa-mangsa penyakit lain yang telah diampuni dan disembuh oleh Sayidina Isa, termasuk juga mereka yang dirasuki syaitan dan iblis. Peristiwa-peristiwa tersebut banyak dicatat lagi dalam Injil catitan Lukas ini. Tetapi marilah kita membaca tentang bagimana saudara Anuar sendiri telah diberkati anugerah Allah Bapa dan kasih kurnia-Nya melalui Penebusnya, Sayidina Isa al-Masih!
Assalamu-alaikum. Saudara-saudaraku, nama saya adalah Anuar. Saya seorang Melayu dari Malaysia. Saya berasal dari keluarga Islam dan dibesarkan sebagai seorang Muslimin sejak kecil lagi. Walaupun begitu, pegangan Islam saya tidak dapat lindungi saya daripada pengaruh-pengaruh negatif dan yang kurang memanfaatkan semasa saya semakin meningkat umur sebagai seorang lelaki.
Sebagai insan yang mengalami asam-garam hidup yang begitu menarik, saya juga telah tertarik kepada unsur-unsur kehidupan yang agak menyeronokkan dan yang mungkin dapat melegakan bebanan dan perasaan kepahitan dalam hidup ini. Walaupun saya seorang Muslim, tetapi keagamaan serta pengajaran Islam saya itu tidak dapat menolong saya menangani cabaran-cabaran serta godaan hidup yang telah saya mengharungi.
Untuk menolong saya melupakan pengalaman-pengalaman yang pahit saya juga telah cuba 'bereksperimen' dengan mengambil dadah. Pada mula-mulanya, ia hanya sekadar cuba-cuba sahaja. Dari jenis dadah yang agak 'lemah' sehingga jenis yang lebih kuat 'kick atau oomphnya' telah dicubai oleh saya.
Pendek kata, tidak lama kemudian. saya telah terjerumus ke dalam ketagihan najis dadah ini. Mula-mulanya, agak seronok juga menjamah dan merasai dadah itu. Itulah sebabnya saya tidak mengindahkan amaran-amaran tentang padahnya yang amat berat itu! Tidak lama kemudian, ketagihan kepada najis dadah ini semakin lebih mencekikkan bahkan menjadi satu bebanan berat yang tidak dapat saya melepaskan.
Saya telah terpaksa mencari dos-dos dadah lebih kerap untuk memuaskan nafsu itu. Kekerapan itu menjadikan saya seperti binatang buas yang sentiasa memburu mangsa yang boleh membekalkan saya dengan dadah atau pun wang-duit yang dapat memperolehi sumber dadah itu. Ketagihan itu telah mengongkong saya ketahap keresahan, kerisauan dan kedesakan yang amat sangat. Akhir kata, saya telah melakukan berbagai kegiatan-kegiatan jenayah untuk memperolehi wang dan sebagainya untuk mendapati dadah yang saya amat perlukan itu.
Pada satu hari, saya telah ditangkap oleh kerana kegiatan-kegiatan saya itu. Mereka telah menghantar saya ke pusat pemulihan untuk cuba mengubati 'penyakit' ketagihan saya ini. Sebagai seorang Islam, saya telah cuba berdoa dan bertaubat dan juga dirawati secara Islam, supaya saya sesungguhnya dapat dipulihkan daripada ketagihan najis dadah itu. Tetapi malangnya, semakin saya melakukan hal-hal itu, semakin ketat dan terkongkong saya merasai rantai-rantai ketagihan dadah telah mengikat jiwa saya!
Tidak lama kemudian, saya pun dilepaskan dari tempat tersebut, dengan harapan memulakan cara hidup yang baru dan yang bebas daripada kongkongan dan ikatan kepada ketagihan dadah. Tetapi walaupun begitu, saya masih tidak bebas daripada pengaruh ketagihan dadah itu. Dengan begitu mudahnya saya telah jerumus kembali kepada cara hidup yang lama, yaitu mencari dadah, rokok berganja dan sebagainya untuk puaskan nafsu dadah - kerana saya masih belum lagi bebas dari ikatannya bahkan ketagihannya masih lagi mendadak.
Selain dari itu, saya juga telah kembali melakukan kegiatan-kegiatan jenayah yang lebih serius dan merbahaya-untuk mendapat wang bagi membiayai ketagihan saya itu. Akhirnya, saya ditangkap sekali lagi, kini oleh pihak polis. Akibatnya, saya dimasuki ke Penjara sebagai hukuman jenayah itu. Hidup saya semakin pahit waktu menjalani hukuman penjara itu. Bukan saja saya terasa terkutuk dan kotor akibat najis dadah, semua ahli keluarga saya telah meninggalkan saya. Hanya Tuhan saja yang dapat fahami perasaan keresahan hati dan kekeciwaan saya kerana sudah tersisih oleh kawan-kawan saya dan juga pengabaian anggota keluarga saya itu!
Dalam keadaan itu, saya mulai mencari jalan keluar, yaitu jalan untuk dilepaskan dari jerat penjara dan 'penjara neraka' yang kini saya sedang mengharungi. Saya telah dengar dari penghuni-penghuni sepenjara yang lain bahwa, ada harapan untuk saya, mula-mula saya tidak mempercayai mereka. Tetapi saya telah pun melihat beberapa di antara banduan-banduan tersebut betul-betul berbeda daripada para penghuni penjara yang lain.
Saya pun telah mendekati mereka untuk mengetahui apakah rahsia pelepasan mereka dan pembebasan mereka daripada ikatan rantai serta penghambaan kepada ketagihan dadah. Dan saya dapat tahu satu hakikat yang sama diantara mereka semua. Nampaknya rahsianya ialah semua para penghuni penjara bersama saya, yang BEBAS DARIPADA KETAGIHAN DADAH, ialah penganut Kristian semuanya!
Dalam kedesakan saya, saya pun amat inginkan pembebasan daripada ketagihan yang sudah cukup lama ini mengikat hidup saya. Saya telah mengkaji dengan dalamnya ajaran-ajaran Nabi Isa alaihisalam dan Kitab Injil Baginda secara ikhlas dan dengan hati serta minda yang terbuka. Selain daripada ayat-ayat diatas yang telah saya renungi dan mengkaji, ada juga nas-nas seperti berikut :
Isa meneduhkan ribut - Injil Lukas 8 ayat 22-25 :
22 Pada suatu hari Isa bersama-sama dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Isa berkata kepada mereka, "Marilah kita pergi ke seberang tasik." Lalu mereka bertolak. 23 Ketika mereka sedang berlayar, Isa tidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas. 24 Isa bangun lalu menengking angin dan ombak yang kencang itu. Ribut itu pun berhenti dan menjadi teduh. 25 Mereka pergi kepada Isa dan mengejutkan-Nya. Mereka berkata, "Tuan, Tuan, perahu kita hampir tenggelam." "Siapakah orang ini sehingga angin dan air menurut perintah-Nya?" Isa berkata kepada mereka, "Di manakah imanmu?" Mereka pun takut dan hairan serta berkata sesama sendiri,
Saya sangat tertarik kepada ayat-ayat Injil yang berikut, yang menjelaskan pergumulan saya secara rohani dan peribadi, malah amat mirip dengan pengalaman saya sendiri bergumul dengan pengikatan ketagihan dadah atas jiwa dan raga saya.
Isa menyembuhkan seorang yang dirasuk roh jahat - Injil Lukas 8 : 26 - 39
26 Mereka berlayar ke wilayah Gerasa yang berseberangan dengan Tasik Galilea. 2728 Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh jahat dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur. Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berkata dengan suara yang lantang, "Mengapakah Engkau mengganggu aku, ya Isa, Anak Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku." 29 Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Dia seringkali dikuasai oleh roh jahat itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh jahat ke padang gurun. 30 Isa bertanya kepadanya, "Siapakah namamu?" Dia menjawab, "Legiun" kerana dia telah dirasuk oleh banyak roh jahat. 31 Roh-roh jahat itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.
32 Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh jahat itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya. 33 Roh-roh jahat itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas.
34 Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. 35 Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Isa dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat itu duduk di kaki Isa dengan berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan.
36 Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang dirasuk roh jahat itu telah disembuhkan. 37 Lalu semua penduduk wilayah Gerasa meminta Isa supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Isa pun menaiki perahu untuk pulang. 38 Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat itu meminta Isa membenarkan dia mengikut bersama-sama dengan-Nya tetapi Isa menyuruh dia pulang 39 dan berkata, "Pulanglah ke rumahmu dan khabarkan segala perbuatan Allah untukmu." Orang itu pergi menyebarkan segala perbuatan Isa untuknya di seluruh bandar itu.
Ya saudaraku yang dikasihi, pengalaman saya dengan ketagihan itu dadah mirip seperti dirasuki oleh sejenis roh yang jahat. Saya telah didorongi dan dipaksa melakukan macam-macam jenayah serta kegiatan-kegiatan yang jahat, hanya untuk memuaskan ketagihan dadah saya itu. Tetapi sebenarnya ia tidak pernah 'dipuaskan' tetapi sebaliknya telah menjadi semakin mendadak, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan.
Walaupun saya dulunya seorang Muslim, dan telah cuba sedaya upaya diubat dan dirawati secara Islam, ia tidak berhasil seperti mana saya telah harapkan - yakni untuk benar-benar dilepaskan dari kongkongan dan pengaruh dadah yang laknat itu! Dan ini bukan hanya pengalaman saya seorang, tetapi pengalaman sangat ramai orang beragama Islam lain yang ketagih najis dadah. Sesungguhnya, ini adalah satu jerat dan perangkap jiwa dan raga yang amat siksakan!
Kini, saya berucap syukur Alhamdulillah dan Hallelujah kepada Sayidina Isa Al-Masih yang satu-satunya telah memberi pelepasan kepada saya, dari pengaruh dan ketagihan najis dadah itu. Sekarang segala rantai dan ikatan ketagihan dadah yang telah cukup lama menghambakan saya kepadanya serta kepada satu cara hidup yang begitu menghinakan, semua rantai-rantai tersebut sudah pun dimusnahkan oleh Rabbi Sayidina Isa dan kuasa Baginda!
Sesudah mencuba rawatan cara lama yaitu Islam, yang telah gagal membawa apa-apa hasil yang benar-benar bermanfaat, saya tidak sekali pun menyesal menaruh kepercayaan serta iman saya di dalam tangan dan kuasa Sayidina Isa Al-Masih - yang sesungguhnya memiliki segala kuasa, kekuatan dan kebolehan yang benar-benar ilahi untuk melepaskan mereka yang benar-benar mengingini suatu hidup baru. Inilah pengalaman hidup saya yang benar dan tidak dapat dinafikan.
Hal yang menarik sekali dalam pengalaman ini ialah saya tidak sekali pun diberi apa-apa makanan atau meminum 'holy water' dan sebagainya dalam pemulihan saya daripada ketagihan dadah. Hanya iman saya, keyakinan dan kepatuhan kepada sabda Sayidina Isa dan kuasa firman Baginda telah telah mengangkat saya keluar daripada ngarai gelap dan jerat dadah itu dengan sepenuhnya! Sebenarnya, ura-ura kononnya umat Kristian mengguna 'holy water' atau 'air suci' untuk mengumpan dan mempengaruhi orang-orang Islam adalah suatu pembohongan tidak berasas sama sekali!
Malangnya ada umat Islam yang tidak bertanggung jawab yang suka mewar-warkan heboh yang tidak berasas ini untuk mengelirukan umat Islam sendiri. Satu lagi kekarutan yang lazim dihebohkan oleh mereka ialah 'holy water'/air suci ini diperbuat di Vatican City, Roma! Saya mengakui ada banyak orang Islam, yang mempercayai kepada kekarutan seperti itu dan masih menjadikan itu sebagai pegangan mereka. Itulah sebab dan punca bagi banyak lagi kesalah-fahaman kita terhadap ajaran-ajaran Sayidina Isa dan Injilnya yang sebenar.
Banyak sekali 'kecurigaan' umat Islam terhadap ajaran Kristian tidak berasas langsung atau pun berlandaskan kepada kekarutan belaka. Dan kekarutan ini berasas kepada pra-sangka, buruk sangka dan salah-tafsiran mengenai ajaran Isa yang begitu ketara. Isu 'holy water' di atas adalah salah satu dalil jelas yang membuktikan kekarutan yang masih dianuti oleh sesetengah pihak umat Islam yang masih sangat jahil.
Jika kita sesungguhnya memihak kepada kebenaran, saya harap kita boleh dengan lebih cerdas lagi cuba memahami ajaran-ajaran Kristian dengan sikap yang jauh lebih terbuka. Marilah kita benar-benar mengadakan dialog dan perbincangan dua-hala tanpa prasangka yang tidak berasas, tanpa agenda atau hasrat lain yang dirahsiakan. Saya kira hanya dengan pengkajian dan permuafakatan dua-hala yang terbuka seperti ini, dapat kita benar-benar mencungkil kesalahfahaman di antara umat kita bersama, dan juga membina rukun hidup bersama-sama antara-umat yang beragama yang saling hormat-menghormati.
Bagi saya sendiri, hakikatnya ialah dulunya saya hidup tersisih dan terbuang disebabkan oleh ketagihan dan ikatan kepada pengaruh dadah. Tidak ada sebarang jalan keluar bagi saya selain daripada kuasa ilahi sabda dan firman Isa Al-Masih serta pengampunan dan penebusan melalui Baginda, yang hari ini menjadi pegangan saya setiap masa. Sebab itulah saya sekarang bebas dari sebarang kemahuan dadah, dan saya telah disatukan kembali dengan keluarga saya yang tersayang! Inilah satu hakikat dan pengalaman saya yang tidak dapat dinafikan.
Segala kemuliaan dan kebesaran adalah hanya untuk Sayidina Isa dan Tuhan yang Maha Esa!